- Saya baru saja pulang dari percutian saya. Saya dan kawan-kawan rapat bercuti di Bali. Ini kali pertama saya ke sana. Kami tiba di sana pada jam 8.30 malam. Kami "check-in" di hotel berdekatan dengan pantai Kuta. Hotel yang kami menginap ini baru beberapa minggu dibuka dan kami adalah orang2 yang pertama mengalami pengalaman mendiaminya. Setelah saya mendapat kunci, saya diberitahu bahawa bilik saya terletak di hujung dan bersebelahan dengan rakan-rakan lain. Apabila saya mula memasuki bilik itu, bulu roma saya mula berdiri dan saya rasa seperti tidak kena. Saya keluar dari bilik berkenaan dan minta ditukar dengan rakan saya.
Setelah selesai membersihkan diri dan bagasi saya, saya mula untuk melenakan mata di katil yang cukup selesa itu. Tetapi saya tidak dapat tidur dengan lena kerana saya rasa seolah-olah ada sesuatu memerhatikan saya. Saya memaksa diri untuk tidur dan tidak berfikiran yang bukan-bukan dan akhirnya terlena juga.
Pada malam kedua, rakan-rakan saya semua ke kelab malam. Jadi saya dan rakan saya yang seorang lagi duduk di bilik hotel kami dan menonton tv. Jam menunjukkan pukul 1.45 pagi. Rakan saya mula mengantuk dan dia terlena di kamar saya. Beberapa minit kemudian, terdengar seperti seseorang mengetuk tingkap bumbung. Saya terkejut dan terfikir, "Siapa pula yang ketuk malam-malam ni?" Saya tidak berfikir apa-apa. Lalu mematikan swis tv dan terus merehatkan mata.
Apabila saya hendak terlena, ada sesuatu meniup mata saya. Saya terkejut dan melihat rakan saya sudah tidur dengan nyenyak. Jadi siapa yang meniup mata saya? Saya mula tidur-tidur ayam, mungkin rakan saya bergurau dengan saya. Perkara itu terjadi lagi, saya membuka mata dan alangkah terkejutnya saya melihat ada seorang budak kecil menyangkung di sebelah saya dan tersenyum. Saya menutup mata saya dengan rapat dan baca beberapa kalimah Allah dan meniup keluar ke arah tersebut. Budak kecil itu pun tidak kelihatan dan saya mengejutkan rakan saya untuk menyalakan lampu.
Saya bercuti di Bali selama 6 hari dan bayangkan, selama 5 malam saya diganggu. Tetapi Alhamdulilah, gangguannya tidak begitu serius. "Mereka" hanya ingin bermain dengan saya.